Versi 2 · berkuat kuasa 29 November 2026
Inilah terma dan syarat yang dipersetujui oleh setiap pemohon sukarelawan Sukan SEA Ke-34 dan Sukan Para ASEAN Ke-14 Malaysia 2027. Anda boleh membacanya di sini sebelum memulakan permohonan, dan merujuknya semula pada bila-bila masa.
Penyertaan
Penyertaan sebagai sukarelawan adalah secara sukarela. Anda bertanggungjawab hadir mengikut jadual tugas yang ditetapkan urusetia.
Sukarelawan yang bertugas menerima elaun mengikut hari bertugas. Satu hari dikira layak hanya apabila imbasan masuk dan imbasan keluar kedua-duanya lengkap. Hari yang tidak lengkap tidak dikira; anda boleh memohon semakan melalui urusetia.
Elaun dikira mengikut tarikh tugas. Jika anda bertugas dua syif pada tarikh yang sama, ia dikira sebagai satu hari. Kadar adalah seragam bagi semua kluster dan bidang tugas, dan tiada minimum jam untuk melayakkan satu hari.
Elaun ini bukan gaji, dan penyertaan ini bukan hubungan pekerjaan.
Maklumat yang dikumpul
Maklumat yang anda berikan digunakan untuk pemilihan, penempatan, pengurusan tugasan, pembayaran elaun dan komunikasi berkaitan kejohanan ini sahaja.
- Identiti — nama, nombor kad pengenalan, tarikh lahir, jantina, e-mel dan telefon.
- Foto — digunakan untuk kad akreditasi anda dan kawalan akses di venue. Foto disimpan pada storan tertutup dan hanya boleh dicapai oleh urusetia yang dibenarkan.
- Dokumen pengenalan — disemak untuk mengesahkan identiti sebelum akreditasi dikeluarkan, kemudian dipadam.
- Jawapan borang dan soal selidik — untuk pemilihan dan maklum balas penglibatan.
- Rekod tugasan dan kehadiran — masa imbasan masuk dan keluar, untuk mengesahkan hari bertugas yang layak menerima elaun.
Lokasi semasa mengimbas kehadiran
Apabila anda mengimbas kehadiran melalui aplikasi, kami meminta kebenaran membaca lokasi peranti anda. Lokasi digunakan sebagai isyarat sokongan sahaja untuk mengesahkan kehadiran di venue tugasan.
- Lokasi tidak pernah menghalang anda daripada mengimbas masuk. Imbasan di luar kawasan venue tetap diterima, dan disemak oleh urusetia.
- Anda boleh menolak kebenaran lokasi. Kehadiran anda tetap direkodkan.
- Bacaan lokasi tidak dikongsi dengan penaja, dan tidak digunakan untuk mengesan pergerakan anda di luar saat imbasan.
- Bacaan ini dipadam setelah elaun dibayar dan tempoh pertikaian tamat.
Sistem pengurusan kejohanan
Maklumat permohonan yang berjaya dipindahkan ke sistem pengurusan urusetia untuk penempatan, kehadiran dan pembayaran. Kedua-dua sistem dimiliki penganjur yang sama.
Perkongsian
Maklumat peribadi anda tidak dijual dan tidak dikongsi untuk tujuan pemasaran. Ia didedahkan hanya seperti berikut:
- Penaja — jumlah agregat sahaja, tanpa nama atau maklumat peribadi.
- Pengendali venue — nama dan foto pada kad akreditasi yang anda tunjukkan di pintu masuk.
- Bank — maklumat yang diperlukan untuk membayar elaun anda.
- Rakan penginapan — jika anda menggunakan modul padanan penginapan, maklumat hubungan didedahkan hanya setelah kedua-dua pihak bersetuju.
Simpanan dan hak anda
Maklumat disimpan selama tempoh yang diperlukan bagi tujuan di atas, dan bagi memenuhi kehendak perakaunan dan audit. Rekod identiti dikekalkan supaya anda tidak perlu mendaftar sebagai orang baharu pada kejohanan akan datang.
Anda berhak meminta akses kepada maklumat peribadi anda, meminta pembetulan jika ia tidak tepat, dan menarik diri daripada penyertaan. Menarik diri tidak memadam rekod kerja dan bayaran yang sudah berlaku. Hubungi urusetia untuk membuat permintaan ini.
Cara maklumat peribadi anda dikumpul dan digunakan diterangkan dalam Notis Privasi.